Sindiket ini menggunakan teknik social engineering dengan menyamar sebagai individu berjawatan tinggi atau wakil daripada agensi kerajaan/syarikat besar untuk mengaburi mata peniaga bagi mendapatkan wang dengan mudah.
1. Penyamaran (Impersonation).
Suspek menghubungi peniaga atau pengusaha katering dan menyamar sebagai pegawai kerajaan, wakil korporat atau individu berpengaruh. Mereka berpura-pura ingin membuat pesanan dalam kuantiti yang besar (contoh: tempahan makanan untuk majlis keraian atau cenderahati).
2. Cipta Keperluan Palsu.
Selepas meyakinkan mangsa dengan pesanan besar tersebut, suspek akan memberikan alasan bahawa mereka perlu menyediakan "hadiah tambahan" atau "cenderahati eksklusif" untuk tetamu majlis. Suspek akan mendakwa mereka tidak sempat membeli barangan tersebut dan meminta bantuan mangsa untuk membuat pembelian tersebut bagi pihak mereka.
3. Penglibatan Pembekal Palsu (Scammer Kedua).
Suspek akan memberikan nombor telefon atau pautan kepada "pembekal" barangan hadiah tersebut. Realitinya, pembekal tersebut adalah rakan sejenayah suspek atau suspek itu sendiri yang menggunakan nombor berbeza.
4. Desakan Pembayaran.
Mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran kepada "pembekal" tersebut terlebih dahulu sebagai tanda komitmen atau deposit. Suspek akan berjanji untuk menggantikan semula wang tersebut bersama dengan bayaran tempahan besar tadi.
5. Lesap Selepas Bayaran.
Sebaik sahaja mangsa melakukan pemindahan wang ke akaun pembekal palsu tersebut, kedua-dua "pegawai" (suspek utama) dan "pembekal" akan terus memutuskan hubungan. Pesanan besar yang dijanjikan hanyalah alasan untuk memerangkap mangsa mengeluarkan wang sendiri.
== Langkah Keselamatan untuk Peniaga ==
* Sahkan Identiti: Jangan mudah percaya dengan individu yang mendakwa diri mereka pegawai kerajaan atau wakil syarikat besar melalui WhatsApp atau panggilan telefon sahaja. Sentiasa hubungi organisasi tersebut melalui nombor rasmi yang boleh didapati di laman web rasmi mereka untuk pengesahan.
* Jangan Guna Wang Sendiri: Peniaga tidak seharusnya menanggung kos pembelian daripada pihak ketiga. Jika pelanggan mahukan barangan tambahan, minta mereka yang uruskan sendiri pembelian tersebut atau minta pembayaran penuh (full payment) dilakukan ke akaun perniagaan anda terlebih dahulu sebelum anda mula berurusan dengan pembekal.
* Waspada Pembekal yang Dipilih Pelanggan: Berhati-hati jika pelanggan "memaksa" anda berurusan dengan pembekal tertentu sahaja, terutamanya jika pembekal tersebut tidak mempunyai premis fizikal atau ulasan yang sah.
* Semak Akaun Bank: Sentiasa semak nombor akaun bank "pembekal" tersebut di portal SemakMULE sebelum membuat sebarang pindahan wang.
* Prosedur Rasmi: Urusan rasmi kerajaan atau syarikat besar biasanya melibatkan dokumen Purchase Order (PO) yang sah, bukan melalui pesanan tidak rasmi atau desakan di media sosial.
Sumner
https://vt.tiktok.com/ZSxGNUJ68/